1.4.10

Warkah buat Abang Din Beramboi

Assalamualaikum w.b.t,

Semalam saya bermimpikan Abang. Abang bawa saya pergi makan. Semuanya baik-baik sahaja. Tapi bila saya terjaga, Abang masih di hospital, masih tidak sedarkan diri, masih dalam keadaan kritikal...

Mereka kata Abang sakit dan demam minggu lepas. Kemudian, mereka juga memberitahu saya abang koma. Mereka ada mengatakan Abang terkena jangkitan virus kencing tikus. Mereka juga kata Abang disyaki terkena denggi. Tak lama lepas tu, mereka memberitahu Abang perlukan darah jenis O dalam tempoh dua puluh empat jam. Selepas dapat darah secukupnya, mereka kata keadaan Abang makin stabil. Alhamdulillah. Tapi hari ini, mereka kata Abang kembali kritikal. Virus di dalam badan makin berkurang tapi penyakit denggi masih terus merebak. Mereka kata darah Abang dah mula keluar dari rongga-rongga peluh Abang. Mereka juga cakap, Doktor akan terus membuat dialisis sampai tengahari ni. Tapi andainya tiada perubahan, doktor akan tarik alat bantuan.

Tapi semua tu saya cuma tahu dari mereka. Saya teringin sangat nak lihat sendiri, melawat sendiri dan sedekahkan sendiri yassin depan Abang. Di saat Abang berada di alam entah di mana, saya mahu sekali berbicara dan cuba menarik semula Abang ke alam dunia kita semula. Sekurang-kurangnya saya mahu berikhtiar, kerana saya mengerti yang lebih berkuasa untuk menentukan adalah Allah, Tuhan yang menghidup dan mematikan kita.

Tapi malangnya, kesempatan itu tidak ada. Masa dan kesibukan menghalang saya untuk mendekati Abang. Tapi jauh di dalam sudut hati saya, Abang akan kuat untuk menghadapi segalanya dan terus hidup kerana saya tahu yang Abang tahu kami semua-isteri, anak-anak, rakan, sahabat handai, saudara mara dan adik seperti saya, masih memerlukan Abang.

Abang ingat lagi tak, kali terakhir kita berjumpa? Ketika itu saya sedang membaca buku kisah-kisah Nabi. Buku itu tebal. Abang datang dan menegur saya, "Kenapa kau baca kamus tu?" Respon saya hanyalah ketawa terbahak. Selepas saya bagitahu Abang buku itu kisah Nabi, Abang mengatakan yang Abang juga pernah membaca buku tersebut dan setiap kali selepas membacanya, hati pasti jadi tenang. Abang juga menceritakan pada saya tentang kewujudan Nabi Adam, saya tahu setiap cerita yang keluar dari mulut Abang memang benar kerana saya baru sahaja lepas membaca babak tersebut ketika itu. Saya jadi kagum dengan Abang. Kita terus berbual dan saya mengajak Abang untuk datang ke majlis perkahwinan saya nanti. Abang kata Abang akan datang, InsyaAllah. Ingatkan itu semua, saya jadi sebak...

Apa yang mampu saya buat hanyalah berdoa dari jauh. Setiap kali saya sedekahkan doa dan beberapa ayat suci, hati saya bertambah tenang. Walaupun jasad Abang masih ada, tapi saya tahu Abang kini sedang berada di alam lain. Alam yang penuh dengan misteri. Pasti banyak sudah yang Abang lalui. Abang, sudah-sudahlah berjalan-jalan di alam itu. Lekas kembali kerana kami juga tidak sabar mahu mendengar cerita Abang di alam misteri itu yang pastinya akan diselang-selikan dengan lawak jenaka spontan Abang itu.. Saya akan tunggu Abang kembali, ya?

Saya Rindu Abang :(

Wassalam,
~meowy~

No comments: